WARTAWAN SINAR HARIAN
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon- Goh Liu Ying mengesahkan tempat ke suku akhir GP Emas Terbuka Switzerland selepas mengetepikan cabaran Valeriy Atrashchenkov-Anna Kobceva dari Ukraine, 21-16 21-19 di pusingan kedua, semalam.
Mengambil masa kurang 30 minit, gandingan pilihan kelima kejohanan ini bakal menentang Peter Kaesbauer-Johanna Goliszewski dari Jerman, awal pagi esok.
Sementara itu perseorangan Malaysia Liew Daren dan Zulfadli Zulkifli mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Switzerland di Basel hari ini.
Daren, yang mengalahkan pemain Perancis Brice Leverdez 22-20, 21-13, akan bertemu Hsu Jen Hao dari Taiwan, manakala pemain nombor dua remaja dunia Zulfadli pula akan berdepan dengan Stilian Makarski dari Bulgaria setelah mengatasi Tan Yuhan dari Belgium 21-14, 21-13.
Pada pusingan kelayakan pula, pasangan beregu lelaki Malaysia Goh V Shem -Teo Kok Siang mengetepikan rakan sepasukan Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong 14-21, 21-19, 21-19 untuk beraksi pada undian utama.
Pasangan beregu wanita Malaysia Ng Hui Lin dan Ng Hui Ern juga layak ke undian utama setelah mengalahkan Johanna Goliszewski-Carla Nelte dari Jerman 16-21, 21-12,21-14.
Bagaimanapun, pemain perseorangan kebangsaan, Tee Jing Ying tersingkir setelah tumpas kepada pemain Thailand Sapsiree Taerattanachai 20-22,15-21.
No comments:
Post a Comment