Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB dan SAADON AKSAH
Harakah: Assalamualaikum YB, harapnya berada dalam keadaan yang baik. Pertamanya boleh YB mengulas lanjut berhubung Program Seminar Pemikiran Anak Muda yang diadakan di Shah Alam 14 Ogos lalu, apa perkembangannya dan hasil dari seminar itu?
Nurul Izzah: Terima kasih ke atas Harakah yang sudi menemubual saya. Seminar tersebut untuk mendapatkan maklum balas dan mendengar maslaah orang muda daripada pelbagai lapisan kelas dan latar belakang,
Program ini adalah anjuran Unit Perancangan Ekonomi Selangor bersama dengan Pejabat penasihat Ekonomi Selangor. Dalam program itu pimpinan Keadilan beri ruang dialog awal antara Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangir bersama dengan peserta.
Kalau kita perhatian demografi peserta menggambarkan masyarakat Malaysia dimana penyertaan kaum lain juga agak besar, hanya kerana bulan puasa ada beberapa keterbatasan, namun saya fikir isu yang mereka tumpukan adalah isu yang selama ini sehaluan dari apa yang dibincangkan oleh pihak Pemuda PAS, Pemuda KeADILan dan DAPSY.
Jadi saya merasakan kita ada keserasian daripada apa yang kita usahakan.
Isu yang dibangkitkan adalah pertamanya isu PTPTN mereka pohon agar diwujudkan satu regime terutamanya kurangkan had seperti di UK setelah seseorang pelajar yang mempunyai pinjaman dnegan kerajannya ia ada had dengan 15000 paund hadnya dan jika lebih barulah mereka dikenakan bayaran hutang wang yang selebihnya.
Ini membolehkan pelajar mempunyai perancangan semasa dan selepas belajar, sedangkan PTPTN itu banyak yang mengekang pelajar- dan kita perlukan sebuah kerajaan yang boleh memberikan peluang dan komitmen yang baik kepada pelajar-pelajar dan mengutamakan pendidikan.
Selain itu isu-isu lain termasuk isu AUKU dimana mereka (anak muda) bersama saya dan ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof minta Dato' Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) mengetuai Kaukus Antara Parti memperjuangkanpemansuhan AUKU.
Yang seterusnya isu yang disebutkan ialah dasar dan tindak tanduk kerajaan yang membebankan rakyat dimana dalam soal kenaikan gaji tidak berubah sejak 10 tahun lalu, dan yang menghadapi bebanan ini ialah masyarakat dan golongan muda yang baru bekerja tidak kiralah apa kelas pekerjaan sekalipun mereka mengatakan sama kerana bila kerajaan mengumumkan keputusan mengurangkan subsidi minyak dan sebagainya, mereka tertekan dengan kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.
Selain itu mereka juga menuntut kewujudan elemen keselamatan yang baik yang mereka bimbang agar kita menghalusi dan mereka juga mahu satu bentuk tindakan susulan dan langkah alternatif dibuat oleh Pakatan Rakyat kerana mereka yakin bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, maka ada pembaharuan yang bakal dibuat.Kita menerima pandangan mereka dan saya fikir ia akan diperhalusi.
Harakah: Bagaimana pula YB melihat persoalan permasalahan anak-anak muda yang bukan dikalangan mereka yang berada pada tahap pendidikan yang sederhana dan tinggi yang mana rata-rata mereka ini terdedah kepada gelaja sosial mutakhir ini?
Nurul Izzah : Tentunya kalau kita cakap isu-isu program sebegini smada seminar kiat hanya akan dapat tarik minat sesetengah golongan, ada juga golongan besar yang 'aphetetics' denga politik dan ada juga sebilangan besar yang terjerumus dengan masalah sosial dan sebagainya yang mereka merasakan tiada gunanya untuk libatkan diri (dalam politik) sedangkan kehidupan yang mereka hadapi setiap haripun sengsara dengan tekanan ekonomi.
Jadi memang mahu atau tidak kita terpaksa buat satu lapangan lain untuk mendekati mereka ini, dan saya fikir apapun lingkaran network kita tak mungkin boleh menandingi Umno yang mempunyai persatuan belia, dan kelab-kelab serta pemuda di peringkat cawangan Umno yang mendalam di akar umbi, sama juga dengan parti Golkar di Indonesia kalau dilihat Presidennya itu mengambil langkah yang berani mereka mewujudkan parti baru yang menampilkan golongan muda yang dimenangi oleh Anas Idandin.
Tetapi halangan yang besar dihadapi Anas, itu yang beliau (anas) bagitahu saya semasa dalam pertemuan dengan beliau dua meninggu lepas banyak di mendedahkan sebagai sebuah parti baru banyak kelemahan dan keterbatasan yang dihadapi terutama dalam soal jaringan dan rangakaian.
Kita bagaimanapun dapat memperjuangkan soal isu dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat muda, Umno banyak dan lebih tahu masalah orang muda tetapi sebuah parti yang lama mereka tidak berbuat apa-apa terhadap masalah yang dihadapi golongan ini dan tuntutan golongan ini.
Mereka tidak meneliti dan melaksanakan dasar-dasar rakyat terbanyak. Di Selangor kita merancang bagaimana hendak membantu masyarakat dari segala aspek, orang muda khususnya, di sinilah kita cuba perbaiki kalau ada ruang yang boleh kita perbaiki di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor walaupun sedikit terbatas, tetapi kita boleh buktikan kita jauh lebih berani dan mementingkan kebajikan rakyat berbanding kerajaan terdahulu (Umno/BN).
Justeru langkah pertama dengan seminar itu kita dah dapat maklum balas, dan langkah seterusnya kita akan rangka gerak kerja yang sesuai untuk melaksanakan apa yang kita rancang. Menurut Saudara Rafizi Rameli yang merupakan CEO kepada pejabat penasihat, beliau nyatakan setiap tahun kita akan adakan program seperti ini.
Harakah: Bagaimana pula pandangan YB tentang sokongan golongan muda hari ini kepada Pakatan Rakyat, sebab kalau kita tengok pada era reformasi 1998, golongan muda menyokong Barisan Alternatif (BA) ketika itu berikutan penzaliman kerajaan ke atas Anwar?
Nurul Izzah ; Kalau kita lihat trend di Korea Selatan dan Indonesia kebanyakan gerakan pembaharuan menuntut reformasi hari ini dipelopori oleh anak muda dan kalangan mahasiswa.
Dan tentunya pada zaman reformasi 1998 pelajar universiti membantu meningkatkan penyampaian maklumat di kawasan-kawasan pendalaman dan desa dan kita dapat saksikan perubahan ketika itu yang mana orang Melayu menyokong pembamknga ketika itu.
Ketika itu juga Umno mula berlumba-lumba untuk mendapatkan sokongan golongan muda dan mahasiswa ini, ramai pemimpin mereka yang bertemu dengan mahasiswa dan menjanjikan pelbagai, antaranya Tan Sri Muhyiddn Yassin, Khaled Nordin, Khairy Jamaluddin berjumpa dengan pelajar dan meminta pandangan dan mereka sedia dengar keluhan tetapi akhirnya jelas mereka tak minat untuk menyelesaikan tuntutan orang muda sebaliknya mereka hanya gunakan untuk kepentingan politik semata.
Tiada 'reform exercise', sebab itu saya fikir pergerakan mahasiswa lebih keliru dengan serangan-serangan PR oleh BN, mereka sedikit tersesan, namun usaha kita melalui kerajaan yang kita menang kita uraikan apa yang ada.
Di UNISEL Selangor kita tonjolkan keterbukaan dengan membenarkan pimpinan politik termasuk BN untuk masuk ke kampus tersebut, berbincang tentang isu-isu semasa. Hanya tidak dapat dinafikan tahap penyertaan ABIM dan PKPIM sekarang ini memberi impak samada negatif atau positif kepada Pakatan Rakyat, sebab itu kita tengok mutakhir ini serangan 'racist' (Perkauman) ini sangat kuat mengakibatkan ada yang terperangkap dengan agenda 'racist' ini , mematahkan sokongan ABIM dan PKPIM adalah menerusi racict ini, kononnya Pakatan Rakyat ini menodai perjuangan bangsa Melayu-Islam ini satu fitnah besar, kerana itu sayangnya kita lihat kemenangan pada tahun 1999 pada pilihan raya di zaman reformasi kita menang rata-rata kawasan undi Melayu dengan anak muda menggembeling tenaga bagi memenangkan kita (Barisan Alternatif) ketika itu.
Namun kini oleh kerana permainan isu perkauman oleh Umno-BN, malangnya ada fitnah jahat terhadap kita kononnya kita cenderung kepada undi bukan Melayu-Islam.
Benar beberapa kawasan kita menang kerana mendapat sokongan besar bukan Islam, namun dalam Pakatan Rakyat, kita memegang dasar bersama iaitu soal hak Bumiputera, soal bahasa, soal agama Islam sebagai agama persekutuan ini semua adalah dasar yang kita setujui bersama yang termaktub dalam dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat, jadi kita menghadapi cabaran baru untuk mengolah dan membawa isu ini sebagai isu sejagat.
Apa pun kita kena sampaikan kepada bawah termasuk di universiti tentang hal ini. Sebab itu dalam KeADILan banyak perubahan yang telah kita buat semata-mata nak pastikan kita merupakan satu parti yang muda, pindaan yang dibuat dalam AMK bukan sahaja melibatkan wanita dan lelaki, tetapi pindaan had umur kurang 35 tahun, ini kita nyatakan suara orang muda sealiran dengan apa yang mereka tuntut termasuk memansuhkan AUKU, dan sebagainya.
Harakah: Penonjolan tokoh muda dalam KeADILan pandangan YB?
Nurul Izzah : Bila kita tonjolkan tokoh-tokoh muda, termasuk baru-baru ini Saudara Rafizi Rameli mengumumkan akan bertanding bagi jawatan Ketua AMK dalam pemilihan sayap KeADILan itu November ini.
Ini maksudnya komitmen kita beri ruang orang yang masuk parti bersama memilih dan mengubah hala tuju parti maksudnya mencorakkan hala tuju parti. Kita juga buat perubahan dengan 'direct election' dimana semua ahli boleh memilih kepimpinan diperingkat cabang, ranting dan pusat.
Ada juga yang berpandangan ini akan memberikan satu gejala baru dalam KeADILan dengan datangnya orang-orang baru, namun kita optimis dengan pendirian tidak ada parti yang hanya mampu berdiri dengan hanya tenaga lama sahaja, sebaliknya kemasukan tenaga muda dan baru juga perlu digembeleng bersama.
Harakah: Adakah ini bermakna, di peringkat kepimpinan tertinggi parti juga perlu satu nafas baharu dikalangan orang muda termasuk bagi jawatan-jawatan penting?
Nurul Izzah : Ini soalan kontroversi, saya setuju kerana ada soalan yang dibangkitkan oleh wartawan selepas Seminar Pemikiran Muda di Shah Alam baru-baru ini tentang adakah perlu KeADILan dapatkan wajah baru untuk menggantikan mereka-mereka yang sudah banyak 'political bagage'?
Apapun beginilah bagi saya tidak kiralah orang itu samada mempunyai political bagage atau orang baru tetapi keberanian dan kesanggupan untuk terima dan serap intipati perjuangan itu penting, kerana bagi saya kadang-kadang orang muda ini mungkin ada yang berpemikiran lama yang terpengaruh denga retorik perkauman dan sebagainya, jadi yang penting keberanian dan keikhlasan menerima budaya baharu dalam parti supaya memastikan perjuangan terlaksana.Tidak ada salah untuk ada anak muda yang memberi nafas baru kepada parti.
Harakah: YB sendiri akan bertanding atau tidak?
Nurul Izzah : Buat masa ini saya menumpukan kepada gerak kerja di Lembah Pantai, kerana parti kita di Lembah Pantai merupana satu wadah baru tetapi untuk pemilihan ini pada saya tidak boleh kata a-a dahulu kerana borang-borang pencalonan baru sahaja dikeluarkan, dan saya akan buat yang terbaik kepada parti untuk membantu parti termasuk tugas saya sebagai ahli Parlimen.
Harakah: Mutakhir ini kita dapat lihat serangan-serangan peribadi yang dibuat oleh bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Noor terhadap Presiden KeADILan dan Ketua Umum, apa sebenarnya motof beliau, dan apakah yang dimahukan Ezam?
Nurul Izzah : Ya, saya fikir masa serangan dibuat oleh Ezam ini dalam bulan Ramadhan menunjukkan ada sebarang kemungkinan besar Pilihan Raya Umum akan berlaku dalam masa terdekat, kerana kita lihat perancangannya sangat teratur dengan Lokman Adamnya menyerang, kita nampak seolah-olah Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda Umno itu tenggelam, dan disisihkan oleh kepimpinan Umno.
Kepada saya semea ini merupakan kuatkan keyakinan bahawa mereka ini bila dan bersama dengan Umno akan melakukan apa sahaja untuk memenangi hati pimpinan mereka, setelah mendapat habuan menerusi bentuk dapat jadi Senator, sedangkan ada ahli dan pemimpin dalam Umno yang telah lama dalam parti itu tidak dapatpun jawatan sedemikian, jadi saya rasa dalam Umno sendiri berkronik antara mereka yang dipulaukan dan mereka yang dapat habuan, memaksa sesetengah individu itu bertindak luar rasional.
Harakah: Adakah sebenarnya ada masalah peribadi antara Ezam dengan Dato' Seri Anwar ataupun pihak-pihak di sekeliling Dato' Seri termasuk yang disebut-sebut sebelum ini Naib Presiden, Azmin Ali?
Nurul Izzah : Saya rasa mana-mana parti memang akan wujud sedikit kerenggangan dan konflik dalam pertembungan antara pimpinan kerana politik itu adalah seni untuk mendapatkan sesuatu, tentunya itu kena kita terima, hanya yang menjadi panduan kepada kita kalaulah adalah masalah, tak bolehlah sampai tersasar dari pendirian asal dan niat perjuangan dan saya tak tahu sebenar untuk menilai kenapa beliau buat demikian, ytang saya tahu sejak dahulu hingga kini apa yang dia (Ezam) pinta ialah mahukan Anwar kembali ke pangkuan Umno.
Harakah: Memang ada usaha Ezam mahu heret Anwar masuk semula Umno?
Nurul Izzah : Ya.... sejak dari dahulu lagi, saya tahu dan pada saya saya tak mahu layan. Bagi saya mereka mahu memerangkap kerana saya tahu mereka sengaja mahu mencabar kita agar menyaman sedangkan kita sedia maklum bahawa kalau kita saman dengan suasana sistem kehakiman yang sudah hancur ini yang dan apa yang saya pelik lagi tuduhan ini hanya dengan kata-kata bukan dengan bukti yang kukuh.
Saya hairan mutakhir ini kenapa terlalu banyak tohmahan yang hanya berdasarkan kepada kata-kata yang bukan berdasarkan kepada fakta, tiada berasaskan undang-undang atau rasionaliti, sesiapa sahaja boleh lemparkan tuduhan tanpa mengambilkira soal bukti, sekurang-kurangnya tampil dengan bukti.
Saya ingat lagi sewaktu zaman ayah dijatuhkan dalam Umno dan kerajaan, sekurang-kurangnya ada buku "50 dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM', ini sekurang-kurangnya ada buku yang ditulis, ini apa yang dikatakan beliau (Ezam) hanya kata-kata kosong setakat cakap begitu begini terhadap Anwar kononnya dalam telefon kata Anwar agen dan sebagainya.
Hampir setiap hari ada sahaja dakwaan baru dan saya fikir sengaja diulang-ulang dari dakwaan terdahulu. Kita tak boleh teruskan dengan layan benda ini, pada saya rakyat telah lihat kredibiliti beliau hancur kerana integriti dengan habuan demikian dan sebagainya.
Terus terang saya katakan yang paling menyedihkan dengan budaya begini menjadi salah satu usaha untuk memenangi jawatan di kalangan ahli politik.
Harakah: Baru-baru ini Dato' Seri Wan Azizah sendiri ada buat kenyataan berbentuk amaran kepada Ezam agar tidak mengulangi fitnah, apa respon YB?
Nurul Izzah : Itulah saya fikit secara peribadi ini ialah percubaan memerangkap keluarga kami kerana kita tahu dengan sistem perundangan yang jelas hancur ini banyak manipulasi dan masalah jika kita masuk ke mahkamah.
Ini sudah ada mesej sistem yang berat sebelah dan ruang dimana hakim boleh dipengaruhi oleh Eksekutif ini. Tiada tindakan langsung jika kita lihat dalam cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Lingam yang menyaksikan sistem kehakiman kita semakin parah. Tiada tindakan yang diambil bagaimana kita boleh harapkan adanya satu keadilan yang benar-benar telus dan berwibawa.
Jadi saya faham sekiranya kita beri amaran keras, tetapi kita kini bercakap dengan orang yang tidak rasional dan mereka ini tahu dengan adanya pimpinan BN kini mereka akan anggap apa benda sahaja boleh berlaku.
Kami memang marah kerana kita bila bercakap tentang orang yang pernah bersama dengan parti dan sangat rapat dengan keluarga kami, walaupun kini berbeza parti tetapi sekurang-kurangnya gunakanlah akal fikiran sebab kita manusia walaupun sudah lain parti dan jika benarlah beliau ikhlas sangat dengan Umno itu perjuangkanlah hak Umno.
Ini tidak dia bercakap di Dewan Negara membazirkan wang rakyat dengan menuduh dan memfitnah kami, apa lagi isu yang beliau bangkitkan. Ya, pada saya memanglah kita kena perjelaskan kekeliruan ini tetapi tanpa bukti kukuh kita tak payah layanlah mereka ini.
Harakah: Maknanya YB melihat bahawa integriti Ezam hari ini sudah tercalar dengan permainan politik sebegini?
Nurul Izzah : Saya fikir ya, bandingkan sahaja dengan apa yang dia kata dahulu dengan 'Sumpah Keramatnya' dan sebagainya. Saya tak sangka bahana yang lebih besar bila mereka ini merosakkan dan tidak menunjuk teladan kepada generasi muda, kita semua harus fikir kita ada anak-anak teapi sikap yang dia tonjolkan ini....yang menyedihkan budaya dalam Umno itu memberi banyak insentif kepada mereka ini bertindak apa sahaja.
Dia (Ezam) seolah-olah mencemar kesucian bulan Ramadhan, yelah kan kalaupun tak suka dengan Ketua Umum KeADILan, lawanlah masa pilihan raya, gunalah apa isu sekalipun kita lihat bagaimana. Pada saya semua itu rakyat dapat melihat.
Harakah: Kempen Selamatkan Selangor yang dibuat Ezam bagaimana?
Nurul Izzah : Kita akui banyak cabaran yang kita hadapi sejak mengambil alih Selangor dari Umno/BN. Ya kalau kita tengok kempen Selamatkan Selangor ini mereka tiru kempen kita 'Selamatkan Malaysia'.
Sekarang ini mereka guna taktik sama, dalam isu rasuah mereka tuduh pimpinan kita semuanya rasuah sedangkan bukti yang dibawa dalam isu pasir contohnya siapa yang benar-benar boleh bawa dalam isu itu adanya rasuah?
Sedangkan prosedur yang dijalankan oleh kerajaan negeri hari ini dalam memberi permit pasir kita dapat lihat dengan borang-borang yang dan sangat ketat. Sedangkan pada zaman mereka (Umno/BN) dahulu hanya memerlukan kelulusan dari seorang sahaja iaitu Menteri Besar untuk angkut pasir.
Sekarang ini kita wujudkan banyak halangan untuk beri permit. Keuntungan dijana untuk kerajaan negeri, tetapi mungkin ada sedikit kelemahan yang dihadapi menyebabkan mereka memanipulasi benda ini.
Tetapi apalah yang nak dibandingkan dengan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PKFZ yang bernilai bilion ringgit. Tetapi mereka (Umno) ini menggunakan isu rasuah untuk kaitkan sama dengan Pakatan Rakyat, agar rakyat mempunyai minda kononnya Umno lebih baik dari Pakatan Rakyat, sedangkan hakikatnya sangat jauh berbeza.
Mereka ada media massa untuk mereka jalankan serangan, mereka guna taktik yang sama. Namun saya lihat dari kehadiran mereka yang datang dalam program Selamatkan Selangor ini kerana dengan kredibiliti dan integriti beliau yang telah ketahui rakyat ia tidak begitu memberansangkan.
Namun pada saya kita jangan ambil mudah dengan perkara ini, kita perlu persiapkan penerangan dan segala macam wadah untuk kita yakinkan rakyat maklumat yang sebenar dari apa yang difitnah oleh mereka.
Untuk sebuah kerajaan yang baru banyak benda yang telah Selangor buat antaranya Tawas, skim air percuma untuk 11 meterpadu, dan bantuan kepada pelajar-pelajar, sekolah dan sebagainya.
Ini tidak dipaparkan oleh media arus perdana. Ini negeri berkebajikan dengan kekayaan negeri Selangor ini dirasai oleh rakyat. Pada saya banyak perkara yang kita patut promosikan ddan kita berjaya alhamdulillah, kita kena ambil sikap positif, kita laksanakan banyak.
Kita kena segera bergerak untuk mempromosikan usaha-usaha yang telah kita buat sebelum ini, kita tak boleh 'defensive' sangat. Mereka nak perangkap kita, tetapi kita banyak habiskan masa untuk hadapi isu ini sedangkan isu-isu lain banyak lagi yang perlu kita perjelaskan kepada rakyat, isu penyelewengan komisen kapal selam, subsidi kepada IPP, isu skandal PKFZ, isu penyelewengan lain dalam kerajaan.
Harakah: Apa yang perlu dilakukan sekarang?
Nurul Izzah : Saya nak dedahkan di sini, dalam Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan ada merancang untuk memberi RM40 bilion kepada PEMANDU,. saya tak pasti tetapi inilah maklumat yang kita dapat maklumat, tetapi dalam PEMANDU itu (Dato' Seri Idis Jala) mereka mengambil setiap konsultan di seluruh pelusuk negara untuk diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) tetapi apa hasilnya hingga kini?
Dalam isu subsidi, subsidi rakyat dipotong tetapi syarikat IPP terus diberikan subsidi dan mereka ini mengaut keuntungan yang sangat tinggi. Mereka buang duit dengan kononnya membuat sistem untuk mengenalpsti bagaimana nak buat penstrukturan semula subsidi, ini jutaan ringgit.
Dato' Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS) mendedahkan jutaan ringgit diberikan kepada ETOS untuk mengwujudkan makmal-makmal PEMANDU, dan banyak lagi syarikat yang terbabit dengan belanja RM4.6 juta untuk tiga bulan, ini baru sedikit yang didedahkan, figur yang baru saya dapat seperti yang saya dedahkan tadi iaitu untuk PEMANDU sahaja RM40 billion dibelanjakan.
Jadi kita berhadapan dengan satu kerajaan dan Perdana Menteri yang begitu boros dan melakukan apa sahaj asalkan 'Satu Malaysianya, imejnya dan Umno menang, dia bukan nak fikirkan soal bagaimana mewujudkan satu persekitaran ekonomi yang lebih kondusif, malah beliau membiarkan sahaja FDI (pelaburan luar ke dalam negara) menjunam, ini beliau (Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak) tidak kisah.
Kita seolah-olah hidup dalam mimpi, bagaimana sebuah kerajaan yang sepatutnya memberikan tumpuan kepada FDI sebagai suatu yang 'crucials' tetapi leka dan tidak mengendahkannya, malah lebih parah lagi banyak pelabur yang pernah melabur di negara ini berpindah untuk melabur di negara lain.
Harakah: Apa faktor FDI merudum?
Nurul Izzah : Banyak faktor, laporan daripada penyelidik, bukan seperti CIMB yang apa-apapun semua BN buat bagus dan kata ini sementara sahaja. Tetapi laporan lain enam hingga lapan bulan lalu ada The Edge menyatakan bahawa bukan sahaja FDI tidak masuk ke dalam negara tetapi banyak syarikat dalam negara yang melabur keluar (negara lain) malah termasuk syarikat tempatan melabur ke luar negara.
Mereka gunakan dana dan kekayaan untuk melabur ke luar, ini kita tidak bantah hak syarikat ini tetapi seperti Khazanah, CIMB mereka ini melabur besar di luar negara.
Faktor lain ialah seperti ekonomi meleset, kesan-kesan dari dasar kerajaan yang mana 'Goverment Direct Invesment' yang mana pelaburan yang hendak dibuat dikawal oleh kerajaan.
Seharusnya untuk memberi mesej jelas kepada pelabur asing dengan kita buat tender terbuka.Kini mereka (Umno) mengwujudkan pula One Malaysia Investment Berhad sebuah badan yang dibawah Kementeran Kewangan seratus peratus, tetapi tidak perlu bertanggungjawab kepada Parlimen, malah ia diletakkan dibawah Akta Syarikat.
Jadi macam ada tangan ghaib untuk memancing dan dapatkan tanah-tanah kerajaan yang lebih baik untuk kepentingan mereka, dan akhirnya wang negara hanya akan berlegar sekitar kroni Umno sahaja. Ini penyebab kenapa FDI juga tidak masuk.
Selain itu dengan soal kehakiman, soal keselamatan ini disebut dalam laporan 'World Competitiveness' yang mana soal kehakiman yang telus penting untuk menarik pelaburan masuk ke dalam. Saya sebut benda ini dalam Parlimen.
Soal keselamatan sepatutnya pihak polis boleh membantu mengwujudkan suasana yang dilhat selamat, tetapi Ketua Polis Negara (KPN) sesuka hati pada bila-bila masa umumkan kononnya Malaysia ada ancaman pengganas, bagaimanalah FDI boleh masuk?
Ini yang kita persoalkan. Sepatutnya KPN kena berhati-hati dan berhemah serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung soal itu.
Pada saya tidak ada silap dan salah jika kita nak akui sistem perundangan kita lemah, tak salah jika kita mengakui kerana kita tidak perlu tunduk kepada Amerika Syarikat.
No comments:
Post a Comment