Oleh G. Manimaran
Demonstrasi, serah memorandum, perhimpunan aman, rundingan meja bulat, bakar patung Perdana Menteri Israel dan yang terakhir usul khas Parlimen. Dan, ceramah perdana.
Satu demi satu aktiviti digerakkan sepanjang seminggu lalu, oleh pelbagai pihak - parti politik, wakil kerajaan, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan — semuanya untuk menarik perhatian ramai
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) mengulangi ‘kesatuan suara’ yang diperlihatkan awal tahun lalu berhubung isu yang sama — konflik Israel dan Palestin. Persekitaran yang sama diperlihatkan semalam selepas mengharungi pelbagai kritikan dan kecaman satu sama lain, tidak terkecuali isu-isu sepanjang 10 pilihan raya kecil.
Jika dulu ‘kesatuan suara’ ini diperlihatkan ketika pentadbiran Abdullah tetapi kali ini di bawah era Najib.
Usul sebagai menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan tentera Israel mengepung dan menyerang Flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza seterusnya menahan sukarelawan kapal tersebut termasuk 12 warganegara Malaysia.
Sebagaimana dilihat awal tahun lalu, perkembangan sepanjang seminggu lalu juga dilihat sebagai peluang untuk dimanfaatkan sebagai keuntungan imej politik.
Selain Mavi Marmara, kapal MV Rachel Corrie yang turut membawa sukarelawan Malaysia turut disekat Israel bagi misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza Sabtu lalu. Kesemunyua 18 sukarelawan Malaysia terbabit.
Baru ini Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel itu.
Parlimen dimaklumkan bahawa Malaysia akan berusaha bersama-sama dengan negara-negara sependapat untuk mendesak Majlis Keselamatan mengeluarkan satu resolusi mengutuk tindakan ganas Israel dan membawa pimpinan rejim Israel itu ke ICJ. Jika gagal diambil tindakan, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara sependapat bagi mendesak supaya satu persidangan sesi khas tergempar Perhimpunan Agung PBB diadakan bagi mendapatkan nasihat undang-undang daripada ICJ berhubung tindakan yang dilakukan Israel di kawasan perairan antarabangsa itu.
Kerajaan juga akan memperhalusi cadangan Ketua Pembangkang supaya Malaysia bekerjasama dengan Turki untuk mengambil tindakan terhadap tentera dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Laporan media menyebut sesi pengulungan juga sedikit panas apabila Menteri Luar membidas tindakan beberapa anggota Dewan Rakyat PR yang cuba memanipulasi isu untuk menjadikannya sensasi bagi kepentingan politik.
Anifah juga menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali bahawa BN dan Umno hipokrit dalam membentangkan usul mengutuk Israel kerana melantik APCO Worlwide, yang kononya milik Yahudi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung dakwaannya mengenai APCO yang dikatakan ada hubungan dengan rejim Yahudi.
Dakwaan itu dibuat oleh Anwar April lalu. Dan, isu berkenaan turut menjadi modal kempen ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Sibu baru-baru ini.
Isu APCO dan perkembangan terbaru ini telah digunakan dengan sebaik mungkin oleh BN dan PR untuk menjana sokongan dan simpati penyokong masing-masing.
Walaupun BN dan PR menggunakan isu terbaru ini dengan semaksimum mungkin memandangkan ia menyentuh soal kemanusiaan khususnya umat Islam di rantau Asia Barat, kehadiran ribuan peserta dalam perhimpunan aman di ibu negara Jumaat lalu memberi persepsi yang memihak kepada pembangkang peringkat persekutuan itu.
Bagaimanapun langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa usul di Dewan Rakyat dilihat ‘memulihkan’ imej kerajaan BN. Ia juga dibantu oleh sambutan hero diberikan oleh Najib dan timbalannya kepada sukarelawan yang tiba kelmarin dan semalam.
Sepanjang sebulan lalu komponen PR juga menggunakan isu lesen judi sukan dengan sebaik mungkin.
Atas kertas PR dilihat menerima populariti pendapat umum dalam persekitaran semasa.
PR meneruskan usaha mengekalkan momentum sokongan. Ceramah perdana diadakan di Taman Bolton, Gombak
Menurut Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad, dua sukarelawan yang berada di kapal MV Mavi Marmara iaitu Jamaludin Elias dan Mustafa Mansur telah bersetuju untuk bercakap di satu pentas bersama Anwar, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar.
“Ini cara kami salurkan maklumat kepada rakyat. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi kepada semua kaum,” kata Idirs
“Kami mahu kerajaan bertindak. Bukan setakat bercakap macam hari ini (semalam),” katanya merujuk kepada usul dibentangkan di Parlimen semalam.
Pemimpin Pakatan juga mengecam tindakan kerajaan merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu APCO, yang menurut Ketua Umum Pakatan Rakyat itu syarikat tersebut mempunyai ikatan dengan Israel.
“Jika mereka serius, kerajaan perlu menjauhkan diri daripada APCO. Tamatkan kontrak dan tarik balik kes terhadap Anwar,” kata Idris.
Politik sebenarnya bersangkut paut dengan persepsi orang ramai. Persepsi ini yang diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan undi ketika pilihan raya.
Dalam mengeksploitasikan isu semasa ini PR kelihatan ke depan. Ini satu lagi kitaran isu yang negara saksikan sepanjang dua tahun lalu selepas pilihan raya umum 2008.
BN akan muncul juara dalam isu terbaru ini? Bagaimanapun PR hendak menerima hakikat.
Yang pasti isu konflik Palestin sebagai bahan kempen politik, begitu dengan soal lesen judi sukan, akan berterusan untuk beberapa minggu akan datang. Bagaimanapun keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dalam isu APCO akan mendatangkan implikasi dan kesan lebih besar kepada kedua-dua BN dan PR berbanding konflik Palestin-Israel dan judi sukan.
No comments:
Post a Comment