Oleh Zolkharnain Abidin
SATU - Ibarat segelas minuman segar yang sedia untuk diminum, konvenseyen Pakatan Rakyat yang bakal diadakan di Pulau Pinang memang tepat pada masanya. Jika minuman itu kurang manis, tambahkan pemanisnya; jika kurang segar, tambahkan air batunya. Paling penting, minuman itu hendaklah berkhasiat dan menyegarkan.
Jika BN adalah segelas minuman, ia bukan lagi minuman berkhasiat dan menyegarkan. Minuman itu sudah dimasuki lipas, berbau hapak dan membahayakan jika diminum.
Walau pun ada pihak yang cuba untuk memaniskan minuman itu, ia sudah menjadi terlalu manis sehingga memudaratkan. Jika ia ingin disegarkan, minuman itu sudah terlebih ais sehingga memeritkan tekak jika diminum.
Paling sesuai, tuang sahaja minuman itu. Tapi awas, jangan dituang sebarangan. Jika dituang diperdu pokok bunga, mungkin beberapa hari selepasnya pokok bunga itu akan layu. Adakah cara lain untuk memanfaatkan air itu?
DUA – Sangat diharapkan supaya konvensyen PR yang bakal diadakan mampu menjernihkan pemikiran dan tanggapan sebahagian orang PAS yang masih terikat dengan cara berfikir ala Umno. Sebahagian kecil golongan ini yang bersemangat Islam, namun gagal menghayati ruh Islam dan perjuangan PAS masa kini.
Pertama, ada kumpulan tertentu yang masih menganggap PAS terkeluar dari landasan jika tidak melaungkan slogan ‘negara Islam’. Baginya, negara Islam itu mesti dilabelkan di merata-rata dengan ‘Negara Islam’. Malaysia tidak jadi negara Islam jika tidak dilakukan begitu.
Kedua, ada yang menganggap PAS tidak Islamik apabila tidak bercakap mengenai hudud. Bagi orang seperti ini, Islam adalah hudud dan hudud adalah Islam. Seolah-olah hudud adalah keseluruhan Islam.
Ketiga, bagi sesetengah orang, setiap sesuatu daripada Islam mesti berlabel Islam. Menamakan negara ini dengan negara kebajikan tidak Islamik, nama yang Islamik ialah negara Islam. Cukai yang dikutip mesti bernama Jizyah. Jika tidak dinamakan Jizyah, ia tidak Islamik walau pun pelaksanaannya adalah sama dengan Jizyah.
Keempat, bagi sesetengah orang, PAS tidak boleh berkawan dengan non Muslim. Mereka mesti dimusuhi dan diperangi. Mereka adalah musuh walau pun mereka tidak memusuhi Islam. Jika PAS berkawan dengan mereka, PAS dikira berkawan dengan musuh Islam.
Kelima, sebahagian yang lain pula berpandangan, Islam hanya untuk orang Islam. Orang bukan Islam tidak boleh ambil tahu pasal Islam, tidak boleh baca al-Quran walau pun terjemahannya. Tindakan itu dikira menghina Islam.
TIGA – Kasihan rakyat Malaysia. Mereka terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapat gambaran sebenar mengenai Islam. Mereka terpaksa menunggu sehingga PAS berkawan dengan DAP untuk dapat melihar keindahan Islam.
Sekian lama Umno berkawan dengan MCA dan MIC, mereka hanya nampak Islam ala Umno yang semakin hari semakin lemah dan terpinggir.
Kasihan rakyat Malaysia! Jika kita semua sayangkan Islam dan Malaysia, ayuh bebaskan negara ini daripada Umno Apco BN.
No comments:
Post a Comment