Sejak awal Mac hingga Mei, akhbar arus perdana tidak henti-henti dari menjalankan propaganda kononnya suasana ‘perpaduan’ bakal tergugat jika pembangkang berjaya menjatuhkan kerajaan.
Lihat sahaja semasa Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak April lalu, akhbar arus perdana memainkan sentimen kononnya wujud kecenderungan Pakatan Rakyat untuk menjadikan Sarawak seolah-oleh terkeluar dari Malaysia. Malah media juga memainkan sentimen kononnya jika Pakatan Rakyat menang, Pengerusi KeADILan Sarawak, Baru Bian yang kononnya seorang pejuang Kristian akan menjadi Ketua Menteri
Laporan berbentuk sentimen keagamaan ini menular, malah bahangnya terasa di Semenanjung walaupun hangatnya tidak terasa di Sarawak yang ketika itu berdepan pilihan raya.
Lihat sahaja pada 20 April 2011, empat hari selepas pilihan raya Sarawak tamat, akhbar arus perdana menggunakan ‘kebebasan’ akhbar yang mereka miliki untuk mempromosi 1Melayu 1Bumi, dan kemudiannya disahut dengan lantang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juak-juaknya. Walaupun hakikatnya, tiada ketegangan yang berlaku namun media-media pro-Umno ini semakin berani untuk membawa pemikiran masyarakat berada dalam ketakutan dan keresahan.
Seperti pandangan bekas Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu tidak mustahil pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhasrat menjalankan Operasi Lalang ke-2, ekoran tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Umno-BN sejak kebelakangan ini.Ianya lebih jelas apabila merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia 7 Mei lalu yang dilihat Mohammad cuba membakar sentimen Melayu-Islam, dengan mendakwa wujud agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi di negara ini. Tindakan mereka kini mirip seperti yang terjadi pada 1987, iaitu tuntutan ekstrem oleh kelompok tertentu dalam parti komponen Barisan Nasional.
Pada tahun 1987, Ketua Pemuda MCA, Lee Kim Sai menuntut supaya jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada orang Cina hingga menyebabkan perbalahan dalaman BN. Namun, tangkapan tidak dibuat kepada mereka, sebaliknya ahli politik pembangkang dan pemimpin NGO yang disumbat dalam ISA antaranya Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dan beberapa figur lain lagi.
Kini, Najib mula menjalankan peranan yang pernah dimainkannya pada 1987 sewaktu menjadi Ketua Pemuda Umno, dengan mengapi-apikan sentimen permusuhan keagamaan dan kaum di kalangan rakyat Malaysia.
Permainan ini boleh dilihat dengan beberapa kenyataan pimpinan Barisan Nasional sejak mutakhir ini, termasuk Presiden MCA, Dato’ Seri Chua Soi Lek yang membuat kenyataan akan menyertai KeADILan sekiranya parti itu bersedia menggugurkan hak keistimewaan orang Melayu.
Tidak menghairankan apabila Umno-BN melalui Utusan Malaysia cuba memarakkan lagi kebencian orang Melayu-Islam dengan memapar laporan pada muka depannya yang bertajuk ‘Kristian Agama Rasmi?’ 7 Mei lalu.Gambarannya mudah, dengan mengapi-apikan perasaan orang Melayu seolah-olah membayangkan Pakatan Rakyat tidak peduli dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
No comments:
Post a Comment