Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang masih lagi mempertemukan kita dengan hari raya Aidiladha ini. Suatu perayaan dalam agama Islam yang terkenal dengan ibadah haji dan korban yang dilakukan oleh umat Islam.
Sebahagian daripada kita ketika ini, sedang berhimpun di Padang Arafah daripada ratusan bangsa dan negara seluruh dunia, semuanya sujud kepada Allah SWT. Memberi makna yang jelas ketundukan kita kepada Pencipta iaitu Allah SWT dan melambangkan kesatuan Islam yang mampu menyatupadukan ratusan bangsa yang sangat majmuk di seluruh dunia.
Begitu juga dengan ibadah korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah, telah menatijahkan kemenangan besar yang Allah berikan dalam berhadapan dengan pemerintah zalim Namrud pada ketika itu.
Kepatuhan dan pengorbanan dalam perjuangan, akan membuahkan pertolongan Allah yang tidak disangka- sangka dalam memberi kemenangan kepada Islam. Sekali gus memberi hasil yang baik kepada dunia yang sejahtera dan adil untuk semua termasuklah kepada masyarakat bukan Islam.
Kita berharap, sambutan hari raya ini akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah, dengan mematuhi perintah yang diwajibkan Nya dalam seluruh aspek kehidupan sebagai individu dan masyarakat, juga negara bagi memastikan dunia ini selamat dan diri kita juga selamat di akhirat apabila bertemu Allah SWT.
Mewakili PAS, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha dengan seruan supaya kita bersama meningkatkan kepatuhan kepada perintah Allah.
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment