" Ya Allah! Sebagaimana Engkau Pernah menghantar burung-burung ababil menghancurkan tentera bergajah Musyrikin, maka kami memohon kepada mu Ya Allah….Ya Tuhan Ku turunkanlah bantuan mu kali ini kepada orang orang dizalimi, hancurkanlah regim UMNO dan sekutu-sekutunya. Amin"
Image and video hosting by TinyPicsila hubungi Ust Syed untuk keterangan lanjut - 019 5121274

Monday, March 22, 2010

Buku filem P Ramlee ke Ohio dan Washington

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Sempena kelahiran seniman agung Tan Sri Datuk Amar Dr P Ramlee hari ini, beberapa pihak tertentu telah melancarkan satu usaha bersama untuk membawa buku-buku filem seniman agung itu ke peringkat luar negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Mohd Mahyidin Mustakim berkata, beberapa usaha terkini sedang giat dilakukan untuk penterjemahan buku-buku itu bagi memudahkan rujukan pengkaji luar di universiti di sana termasuk di Library of Congres.

"Buku-buku ini akan ditempatkan di beberapa buah universiti di Ohio dan Washington di Amerika Syarikat. Juga ia akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

"Ini yang kita lakukan sempena sambutan kelahirannya hari ini. Kalau P Ramlee masih hidup, tentu dia meraikan hari ulangtahun kelahirannya yang ke-81 ini," tambah beliau

Mohd Mahyidin berkata demikian ketika berucap sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) di sini, hari ini.

Turut berucap sama dalam majlis berkenaan adalah rakan-rakan seperjuangan beliau ketika di Studio Jalan Ampas, Singapura dan Kompleks Studio Merdeka Hulu Kelang.

Menceritakan pengalaman berlakon di bawah arahan P Ramlee itu, seniwati Mariani berkata, seniman agung itu tidak memarahinya walaupun ada suatu babak yang sukar beliau lakonkan itu tertunda sehingga enam hari.

"Sampai hari keenam, barulah saya berjaya melakonkan watak dalam filem Putus Sudah Kasih Sayang itu. Tapi, dia tak marah. Sampaikan ada orang mengejek beliau, orang kata, kalau kami, abang marah, kenapa Mariani abang tak marah?

"Kemudian dia balas balik kepada krew filem itu, macam mana nak marah, kakak ipar daa..." kata beliau lagi.

Pengarah Datuk Rosnani Jamil pula menyifatkan almarhum adalah seorang seniman yang rendah hati dan sedia mengajarnya sehingga tahu mengenal selok-belok dunia lakonan.

"Saya dan P Ramlee tak begitu mesra sebab saya perempuan. Saya lebih akrab dengan Saloma. Tapi, dia ajar saya sampai saya kenal semua alat lakonan. Dia ajar saya babak menangis dan romantis.

"Secara peribadi, dia memang berjiwa rakyat. Dia tak suka minum di restoren elit," tambah Rosnani lagi.

Sementara itu, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau masih mengingati tarikh awal dia di'screen-test' di bawah P Ramlee pada 16 Mei 1956.

"Kebetulan, masa itu dia tengah berlakon untuk Anakku Sazali, lalu dia ambil saya untuk satu babak saja ketika berlakon di keretapi Singapura. Itu antara pengalaman berharga bagi saya walaupun babak yang ringkas," kata beliau.

Di samping itu, Jins Shamsuddin turut menyetujui pandangan Rosnani Jamil yang menyifatkan sikap seniman agung itu yang rendah hati.

"Pada hari pertama P Ramlee berlakon di bawah arahan saya, saya kata, abang boleh tak beri tunjuk ajar sikit untuk susun babak itu, P Ramlee cakap, tidak, ini filem arahan kamu, kamu sendiri yang mesti arahkan.

"Saya rasa terharu dan hampir menitis air mata mengenangkan jiwa besarnya itu," tambah beliau lagi.

Turut menceritakan pengalaman berlakon di bawah arahan P Ramlee itu, adalah Kuswadinata yang menyifatkan lakonannya di dalam Seniman Bujang Lapok adalah khazanah yang paling berharga.

"Saya pernah jadi wira dalam filem lain tetapi nampaknya satu-satunya babak yang orang ramai kenal saya ialah satu babak pergaduhan antara saya dengan beliau dalam filem itu. Saya lakonkan watak suami beristeri dua," kata beliau.

Sementara itu, Datuk Aziz Sattar ketika mengenangkan pengalaman lalu, berkata, kerendahan hati P Ramlee terserlah ketika zaman kemuncak beliau dan hal itu tidak mengganggu arah perjuangan seninya.

"Saya cakap, Ram (Ramlee) sekarang you patut buat duit. Dia balas balik, seni aku untuk masyarakat, Jiz (Aziz), bukan duit. Dan, dia juga pesan kepada saya, Tuhan tak beri kita segala-galanya Jis (Aziz), kelebihan engkau akan menutup kelemahan aku," kata beliau.

Dalam pada itu, Datuk Zin Haji Hamzah iaitu orang di sebalik layar pembikinan kumpulan Pancha Sitara, menyifatkan P Ramlee pada hakikatnya masih hidup di sebalik karya-karya dan seminar-seminar yang dibincang masyarakatnya.

"Dia masih hidup. Dia bukan sahaja pelakon malah beliau adalah pemikir dan pendidik. P Ramlee itulah yang menyebabkan artis dan karyawan filem hari ini mendapat tempat sehingga ke luar negara hari ini," katanya.

Seniman agung itu meninggal dunia pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun kerana masalah sakit jantung dan dikebumikan di Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Seksyen 111